Penyakit Berjangkit Ketika Banjir

Banjir adalah kejadian semulajadi yang ngeri untuk dihadapi terutamanya pada musim hujan dan tengkujuh. Di Malaysia, musim banjir kerap berlaku pada pertengahan dan juga hujung tahun. Biasanya ia melibatkan kawasan Kuala Lumpur, Lembah Klang, dan Pahang, serta negeri-negeri Pantai Timur termasuk Kelantan dan Terengganu.

Selain masalah penempatan dan pengangkutan, risiko untuk terdedah kepada wabak penyakit berjangkit yang berbahaya juga adalah salah satu kesan buruk banjir.  

Melalui portal MyHealth for Life, banjir yang berlaku akan menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Sampah sarap dan sisa najis ini akan bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak semasa dan selepas banjir adalah seperti jangkitan pernafasan akut, Konjunktivitis (Sakit Mata), Leptospirosis, Cirit-Birit, Disentri, Hepatitis A, Taun/Kolera, Demam Kepialu (Typhoid), Keracunan Makanan, Demam Denggi, Jangkitan Kulit, Demam Campak (Measles), Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut (HFMD), Malaria Dan Cacar Air (Garis Panduan Pengurusan Banjir, 2008).


Source : Homage

Berikut merupakan penerangan tentang penyakit bawaan air ketika berlakunya banjir untuk makluman semua beserta langkah pencegahan daripada terkena penyakit tersebut. Diharap anda semua dapat mengambil langkah-langkah penjagaan sewajarnya bagi mengelakkan dari terkena penyakit-penyakit ini:


1. Penyakit Bawaan Air dan Makanan




Penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti Demam Kepialu (Typhoid), Taun/Kolera, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut, dan sakit kepala. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut. Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan merbahaya. Kejadian penyakit ini sentiasa dipantau dan dikawal oleh pihak Kesihatan.

Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan ialah pastikan sumber air yang akan digunakan dari punca yang bersih dan selamat, sentiasa mencuci tangan menggunakan air yang bersih, minum air yang telah dimasak sempurna, makan makanan yang baru dimasak dan masih panas, kupas kulit buah-buahan sebelum makan, elakkan dari memakan sayur mentah, gunakan air yang bersih semasa membasuh sayur-sayuran, buah-buahan, bahan mentah dan semua peralatan semasa penyediaan makan dan minum, dan pilihlah kedai makanan dan pengendali makanan yang bersih dan telah mendapat suntikan anti tifoid apabila makan di luar.


2. Penyakit Leptospirosis

Penyakit Leptospirosis adalah disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya. Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang telah tercemar dengan air kencing haiwan yang telah terjangkiti dengan bakteria ini. Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.

Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup dan tudung makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri, jangan bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir dan cuci serta balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna supaya tidak terdedah dengan air banjir ini.


3. Penyakit Konjunktivitis (Sakit Mata)



Konjunktivitis atau Sakit Mata juga merupakan penyakit yang kerap terjadi semasa banjir. Penyakit ini mudah merebak dengan cepat dari seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata. Penyakit yang disebabkan oleh kuman (bakteria atau virus) atau alahan ini merupakan radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.

Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih selepas menyentuh mata dan sebarang permukaan, elakkan bergaul dengan orang yang sakit mata dan jangan berkongsi barang peribadi.


4. Demam Denggi



Selepas banjir surut, banyak kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin yang digunakan atau hanyut semasa banjir. Bekas-bekas ini perlulah dibuang dengan betul. Setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes ini.

Demam Denggi adalah berpunca dari nyamuk Aedes. Antara tanda-tandanya ialah bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah atau break-bone fever) dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang, dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah – pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh. Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red). Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa radang otot jantung (cardiomyopathy).

Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss) di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.

Disebabkan Malaysia mengalami banjir setiap tahun, anda dinasihatkan untuk melakukan perancangan awal sebagai langkah persediaan sebelum, semasa, dan selepas musim banjir. Berikut merupakan langkah-langkah persediaan yang boleh diambil sebagai persediaan menghadapi banjir kelak.

PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR

  • Mengikuti ramalan cuaca mengenai amaran hujan lebat dan peka dengan pengumuman amaran banjir di kawasan anda. 
  • Memastikan anda bersiap sedia dengan kit kecemasan yang mengandungi barang keperluan ketika waktu banjir seperti di sini
  • Membuat strategi pemindahan untuk menempatkan diri dan keluarga anda (terutamanya warga emas dan kanak-kanak) di tempat yang selamat.
  • Mendapatkan perlindungan fizikal untuk rumah dan barang-barang anda, serta insurans bagi keselamatan diri dan keluarga. 
  • Pastikan anda dan keluarga telah melengkapi vaksinasi penting untuk penyakit taun, kolera, demam campak, Hepatitis A, dan sebagainya.

PETUA KESIHATAN & KESELAMATAN MAKANAN SEMASA BANJIR 

  • Petua kesihatan dan keselamatan makanan semasa banjir
  • Kerap basuh tangan sebelum dan selepas makan.
  • Digalakkan untuk mendapatkan sumber makanan dan minuman yang bersih dan bertutup.
  • Elakkan membiarkan makanan dan gelas atau botol minuman terdedah. Gunakan plastik atau bekas makanan tertutup.  
  • Jauhi makanan dalam tin yang telah kemek dan rosak. 
  • Sentiasa membasuh dahulu perkakas sebelum dan selepas memasak. 
  • Pek makanan beku dalam peti sejuk perlu diperiksa terlebih dahulu untuk memastikan masih elok dimakan. 

TINDAKAN SELEPAS BANJIR
  • Melakukan pembersihan yang mendalam dan pembasmian kuman di seluruh rumah anda, termasuk peralatan masakan. 
  • Pastikan anda memakai sarung tangan, but getah, dan seluar panjang ketika sesi pembersihan.
  • Buang segala makanan atau minuman yang telah tercemar dengan air banjir. 
  • Elakkan menyimpan harta benda yang telah diserap air banjir seperti tilam, kusyen, dan sofa. 

Sekian sahaja perkongsian saya pada entry kali ini. Diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak anda dalam menghadapi banjir kelak. Saya doakan urusan kalian dipermudahkan segalanya. Terima kasih kerani sudi singgah baca entry Tiqah untuk kali ini.

Assalamualaikum W.B.T.


Yang Ikhlas,

Nur Atiqah

Comments

  1. Didoakan kita semua terpelihara daripada Bencana Banjir dan dan sentiasa di lindungi dari bencana jiwa dan juga wabak penyakit.

    ReplyDelete

Post a Comment